Sabtu, 14 November 2009

Peruntukan RM15 juta laksana Program Bantuan Khusus Sawit


1311-lead-2a
MUSA menyampaikan pemberian bantuan insentif kepada salah seorang penerima, turut disaksikan Yahya, dan Tawfiq.
13th November, 2009

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Khusus Sawit kepada pekebun kecil sawit di negeri ini yang terjejas akibat kejatuhan harga minyak sawit mentah pada penghujung tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, dengan adanya pembayaran insentif itu, ia dijangka akan dapat meringankan bebas kos pengeluaran buah sawit pekebun-pekebun kecil persendirian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pemberian “Relief Incentive” di bawah Skim Bantuan Khusus Sawit kepada pekebun-pekebun kecil yang diadakan di Wisma Kewangan, di sini, kelmarin.

Justeru itu, katanya, kerajaan meminta semua pekebun kecil sawit untuk mendaftar permohonan mereka di pejabat-pejabat pertanian yang berhampiran di kawasan masing-masing

Ini kerana katanya, daripada 11,018 pekebun kecil sawit yang melibatkan keluasan 40,902 hektar yang berdaftar pada tahun lalu dengan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB), hanya terdapat seramai 727 orang pekebun kecil sawit dengan keluasan 3,880 hektar sahaja yang tampil mendaftar dengan Jabatan Pertanian.

Musa berkata, kejatuhan mendadak harga minyak sawit mentah daripada RM3,500 setan kepada RM1,400 setan pada penghujung tahun lalu telah memberi kesan yang amat besar kepada pekebun-pekebun kecil sawit di negeri ini.

“Dalam tempoh berkenaan, dilaporkan Buah Tandan Segar yang dihasilkan oleh para pekebun kecil tidak dapat dipasarkan, ini menjejaskan pendapatan pekebun-pekebun kecil dan pada masa yang sama sedang menghadapi bebanan peningkatan harga input pertanian terutamanya baja,” katanya.

Skim Bantuan Khas Sawit dan Skim Pinjaman Mudah membabitkan dana RM50 juta daripada Kerajaan Negeri, manakala bagi Skim Bantuan Khusus Sawit dikendalikan oleh Jabatan Pertanian, pendekatan asal skim itu ialah pembayaran berasaskan perbezaan harga lantai RM250 setan kepada pekebun kecil sawit yang mempunyai keluasan kurang daripada 6.07 hektar.

Ini kerana, katanya, pasaran sawit telah beransur pulih dan dengan itu harga buah sawit telah mula meningkat dan berasa di atas harga lantai RM250 setan yang ditetapkan di bawah skim itu.

“Masalah penjualan buah tandan segar pekebun kecil juga telah dilaporkan tidak lagi wujud, oleh itu tiada sebarang pembayaran dilakukan kepada para pekebun kecil yang mendaftar dengan skim ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, demi kebajikan pekebun-pekebun kecil sawit, pendekatan Skim Bantuan Khusus Pekebun Kecil Sawit itu telah disemak semula dan kerajaan kini memperkenalkan pembayaran “Relief Incentive” sebanyak RM50 setan kepada pekebun-pekebun kecil sawit di negeri ini yang layak

Beliau berkata, pemberian Relief Incentive itu melibatkan pembayaran sekali sahaja secara tunai sebanyak RM50 setan abgi tempoh tiga bulan untuk menggantikan rugi keadan harga terendah dalam bulan Oktober, November dan Disember pada tahun lalu.

Menurutnya, pembayaran yang dibenarkan adalah dihadkan kepada keluasan 6.07 hektar kepada pekebun kecil sawit yang memiliki tanaman berumur antara empat hingga 25 tahun sahaja.

“Saya berharap agar para Pekebun Kecil Sawit yang akan menikmati insentif tunai yang diterima di bawah skim ini akan memanfaatkannya, terutama bagi tujuan meningkatkan lagi pengeluaran buah sawit (FFB),” katanya.

Musa berkata, beliau yakin insentif tunai itu sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan beban pembelian baja oleh para Pekebun Kecil Sawit di negeri ini.

Beliau berkata, untuk memudah penyaluran bantuan, kerajaan juga menggalakkan semua pekebun kecil yang berada di setiap daerah menubuhkan persatuan pekebun kecil sebagai saluran antara mereka dengan kerajaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Donald Peter Mojuntin, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Datuk Haji Yusof Kassim, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Haji Jumahat Intang dan Pengarah Pertanian Negeri, M.C. Ismail Salam

Tiada ulasan: