Ahad, 4 Oktober 2009

Program Bumi Hijau


Program Bumi Hijau


PROGRAM BUMI HIJAU

Pelaksanaan Program Bumi Hijau dan Pembangunan Keluarga Tani adalah lanjutan dari program Kempen Buku Hijau yang telah dilancarkan pada 3 Mac 2006 oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia. Program ini terdiri dari 3 komponen utama iaitu Tanaman (bercucuk tanam), Ternakan dan Akuakultur. Program ini akan memberi fokus di kawasan bandar dan luar bandar dengan menggalakkan penduduk bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai untuk kegunaan sendiri dan selebihnya boleh diproses/guna sendiri. Penanaman sayur-sayuran akan dilaksanakan di halaman rumah dengan mengambilkira konsep ‘kitchen garden’ atau ‘edible landscape’, secara langsung akan memperindahkan lanskap kawasan kediaman mereka.

Matlamat utama Program Bumi Hijau ialah untuk melibatkan penduduk negara ini bercucuk tanam dan menternak bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian. Ini akan dapat meringankan beban kewangan penduduk akibat kesan kenaikan harga barangan makanan dan kesan kenaikan kadar inflasi. Dalam masa yang sama program ini dapat mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penduduk negara mengeluarkan sendiri makanan segar, berkhasiat dan selamat.

Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM 15 juta bagi tahun 2008 dan untuk fasa 1, sebanyak RM 5 juta telah diagihkan. Dengan peruntukan tersebut Jabatan telah menetapkan sasaran seramai 187,000 keluarga di 2,880 Kampung dan Taman Perumahan di seluruh negara.

Kit Bumi Hijau bernilai RM15.00 yang mengandungi 4 jenis biji benih sayuran terpilih, baja serta risalah / selembaran yang mengandungi maklumat cara penanaman dan penjagaan tanaman sayur-sayuran sebagai panduan akan beri secara percuma kepada semua peserta. Orang ramai boleh menyertai program ini; (i) secara individu yang melibatkan peserta menanam di halaman rumah dan (ii) secara berkumpulan/komuniti/institusi (20 peserta/kumpulan) di kawasan tanah lapang di kampung/Taman Perumahan.

Pelaksanaan program ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Program Kempen Bumi Hijau di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Exco Pertanian bertindak sebagai pengerusi J/K diperingkat Negeri dan Jabatan Pertanian menjadi urusetia kepada Jawatankuasa ini. Semasa melaksanakan program ini Jabatan Pertanian juga perlu bekerjasama dengan lain-lain Jabatan/agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pelajaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan (Pusat Latihan Perkhidmatan Negara), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Perbadanan Putrajaya, DBKL dan kementerian Kemajuan luar Bandar dan Wilayah.



Tiada ulasan: