Sabtu, 10 Oktober 2009

VARIETI PADI ‘SRI AMAN’

VARIETI PADI

‘SRI AMAN’

MAMPU TINGKAT HASIL

0910-depan-1a
MUSA (tengah) bersama Yahya (kanan) dan Ismail (kiri) sedang menanam benih baru padi dinamakan ‘Sri Aman’.
9th October, 2009

TUARAN: Varieti padi baru yang dinamakan ‘Sri Aman’ yang mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan penyakit padi mampu memberikan hasil tuaian yang tinggi, iaitu antara lima hingga tujuh tan sehektar dan mampu meningkat- kan hasil padi di negeri ini.

Varieti padi baru Sri Aman itu merupakan penemuan penting yang akan memberi manfaat kepada petani di negeri ini adalah hasil penemuan Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran.

Ketua Menteri, Dauk Seri Musa Haji Aman yang melancarkan varieti baru padi itu. sempena Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran, di sini, kelmarin berkata, sekiranya teknologi pertanian yang berkenaan diamalkan sepenuhnya pengeluarannya mampu mencapai sehingga 10 tan sehektar.

Katanya, pelancaran varieti padi baru itu juga akan dapat membantu kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan tahap sara diri bagi pengeluaran beras di negeri ini yang pada masa ini pada tahap 30 peratus.

“Difahamkan sehingga kini, sejumlah 19 varieti padi baru dan 60 varieti tanaman makanan telah disyorkan untuk diusahakan oleh para pengusaha pertanian di negeri ini,” katanya.

Musa berkata, kejayaan menghasilkan varieti-verieti padi baru telah berjaya meningka- tkan hasil petani yang dahulunya kurang daripada 1tan sehektar kepada lebih 3.5 tan sehektar pada masa kini.

“Saya berharap agar Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran akan terus berusaha memainkan peranan dan tanggungjawabnya sebagai teras utama untuk pembangunan industri pertanian di negeri ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa berkata, peranan dan tanggungjawab bidang penyelidikan amat penting

Menurutnya, pengenalan kepada teknologi terkini dalam pengeluaran beras, sayur-sayuran dan buah-buahan tanah tinggi akan membantu meningkatkan tahap sara diri sambil meningkatkan taraf sosio ekonomi petani tempatan.

Ia katanya, selaras dengan objektif Dasar Pertanian Negara Ke-3 (DPN3) dan juga Dasar Pertanian Negeri Sabah Ke-2 (DPNS2).

“Usaha sedemikian juga sudah pasti akan memberi impak bagi mengurangkan bil import makanan melalui peningkatan pengeluaran tanaman yang berpotensi sebagai pengganti import,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajiji Mohd Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman dan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, M.C. Ismail Salam.

Ahad, 4 Oktober 2009

Program Bumi Hijau


Program Bumi Hijau


PROGRAM BUMI HIJAU

Pelaksanaan Program Bumi Hijau dan Pembangunan Keluarga Tani adalah lanjutan dari program Kempen Buku Hijau yang telah dilancarkan pada 3 Mac 2006 oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia. Program ini terdiri dari 3 komponen utama iaitu Tanaman (bercucuk tanam), Ternakan dan Akuakultur. Program ini akan memberi fokus di kawasan bandar dan luar bandar dengan menggalakkan penduduk bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai untuk kegunaan sendiri dan selebihnya boleh diproses/guna sendiri. Penanaman sayur-sayuran akan dilaksanakan di halaman rumah dengan mengambilkira konsep ‘kitchen garden’ atau ‘edible landscape’, secara langsung akan memperindahkan lanskap kawasan kediaman mereka.

Matlamat utama Program Bumi Hijau ialah untuk melibatkan penduduk negara ini bercucuk tanam dan menternak bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian. Ini akan dapat meringankan beban kewangan penduduk akibat kesan kenaikan harga barangan makanan dan kesan kenaikan kadar inflasi. Dalam masa yang sama program ini dapat mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penduduk negara mengeluarkan sendiri makanan segar, berkhasiat dan selamat.

Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM 15 juta bagi tahun 2008 dan untuk fasa 1, sebanyak RM 5 juta telah diagihkan. Dengan peruntukan tersebut Jabatan telah menetapkan sasaran seramai 187,000 keluarga di 2,880 Kampung dan Taman Perumahan di seluruh negara.

Kit Bumi Hijau bernilai RM15.00 yang mengandungi 4 jenis biji benih sayuran terpilih, baja serta risalah / selembaran yang mengandungi maklumat cara penanaman dan penjagaan tanaman sayur-sayuran sebagai panduan akan beri secara percuma kepada semua peserta. Orang ramai boleh menyertai program ini; (i) secara individu yang melibatkan peserta menanam di halaman rumah dan (ii) secara berkumpulan/komuniti/institusi (20 peserta/kumpulan) di kawasan tanah lapang di kampung/Taman Perumahan.

Pelaksanaan program ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Program Kempen Bumi Hijau di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Exco Pertanian bertindak sebagai pengerusi J/K diperingkat Negeri dan Jabatan Pertanian menjadi urusetia kepada Jawatankuasa ini. Semasa melaksanakan program ini Jabatan Pertanian juga perlu bekerjasama dengan lain-lain Jabatan/agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pelajaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan (Pusat Latihan Perkhidmatan Negara), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Perbadanan Putrajaya, DBKL dan kementerian Kemajuan luar Bandar dan Wilayah.